Pelik tetapi benar dalam dunia mencari kerja

By aliman

Ayat dialog di bawah bunyinya ganjil. Tahukah anda semua dialog ini pernah diucapkan dalam organisasi berbeza?

“Pertama kali saya menghadiri temuduga di situ, saya berhadapan dengan pengalaman yang ganjil. Kakitangan di bahagian kaunter pertanyaan memberikan pelbagai maklumat peribadi tentang majikan beliau. Saya tidak tahu apa gunanya maklumat yang tidak ada kaitan dengan organisasi. Pada akhir sesi temuduga, penemuduga bertanyakan pasukan bola kegemaran. Saya ulang sebut nama pasukan bola yang disebut kakitangan di kaunter. Penemuduga tersenyum, sehari selepas itu saya ditawarkan jawatan tersebut.”

“Saya sendiri tidak sangka cara kami diberhentikan kerja dalam keadaan luar biasa sekali. Pada pagi itu, kad akses kami tidak dapat membuka pintu cermin secara automatik. Mujurlah salah seorang kakitangan datang ke pintu. Sangka kami pintu itu mempunyai masalah. Rupa-rupanya kad akses kami dibatalkan dan kami diberhentikan kerja.”

“Soalan yang tidak dapat saya lupakan diajukan oleh penemuduga ialah sama ada saya percaya kewujudan hantu. Saya mengiyakan. Selepas beberapa lama bekerja di sini barulah saya tahu soalan itu sengaja diajukan kerana waktu itu penemuduga hendak membuktikan kepercayaan beliau terhadap hantu bukanlah  ganjil. Jawapan ya yang saya berikan seolah-olah kemenangan beliau di hadapan panel penemuduga lain yang tidak menyokongnya.”

“Majikan saya tidak gemar bercakap banyak. Sehinggakan kami merasakan beliau seorang yang tidak mesra pekerja. Ada masanya kami berasa kewujudan kami tidak disedarinya. Dalam diam-diam, kerja kami diperhatikan. Malah jika ada kesilapan, beliau tidak menyalahkan kami sebaliknya terus meminta kami untuk membetulkan. Majikan kami sangat mempertahankan pekerja-pekerja di hadapan para pengurus jabatan lain. Sedang pengurus lain bercerita tentang keburukan kakitangan bawahan mereka, beliau bercerita kisah baik tentang kami di hadapan orang lain.”

Bagaimana anda jika berhadapan dengan keadaan ini? Klik di sini

Label: , , , , , , ,

Tinggalkan jawapan